Monday, September 22, 2008

Tomoi tanpa elemen bergaduh

Sukan tomoi atau Muay Thai dianggap seni mempertahankan diri yang dapat membentuk nilai peribadi seorang remaja. Wartawan, NOOR HASLIZA NUSI melaporkan.
SUKAN tomoi kembali mendapat suntikan semangat baru sekitar lewat tahun 1990-an di Malaysia.


SESUDAH meletakkan mong kong (seutas ikatan tali) di atas kepala, badan dialun mengikut rentak secara perlahan, bersama iringan irama muzik gamelan dan tiupan serunai.

Langkah disembah di setiap penjuru gelanggang mengikut gerak bebas anggota badan, sebagai penghormatan kepada sang guru.

Begitulah senarionya ritual langkah sembah, iaitu adegan yang dilakukan peninju sebelum memulakan sesebuah perlawanan. Ketika itu jugalah, peninju akan memperkenalkan kelab atau perguruan masing-masing kepada pengadil.

Mungkin cerita mengenai sejarah perkembangan sukan tersebut sudah lama disebarkan kepada umum. Namun, hanya sebilangan daripada kita masih tertanya-tanya tentang asal-usul sukan tradisi masyarakat Thailand ini.

Sukan tomoi atau Muay Thai ini merupakan salah satu cabang seni mempertahankan diri yang menggunakan kepantasan anggota badan seperti tangan, siku, kaki dan lutut dalam mencari sasaran untuk menjatuhkan lawan.


ANTARA peralatan sukan tomoi yang diperlukan oleh setiap peninju.


Tempoh perlawanan yang diambil adalah selama lima pusingan. Setiap satu pusingan mengambil masa selama tiga minit dan dua minit untuk berehat.

Sekiranya salah seorang peninju didapati tumbang atau rebah sebelum tamat masa perlawanan, pihak lawannya secara automatik akan diisytiharkan sebagai pemenang.

Berbanding dengan sukan tinju, ia melibatkan satu pergerakan tangan sahaja.

Menurut ketua pengadil, Ahmad Sowhini Harun, seorang pengadil berhak membatalkan perlawanan atau memberi amaran kepada peninju sekiranya didapati peninju tersebut melakukan kesalahan dalam perlawanan.

“Antaranya ialah membuat serangan di bahagian alat sulit, belakang kepala hingga ke paras tengkuk dan semasa lawan terjatuh sama ada disebabkan oleh pukulan atau bukan pukulan. Namun peninju boleh menyerang semasa lawan dalam kedudukan melayang sebelum jatuh.

“Peninju juga tidak dibenarkan mengangkat dan menghempas lawan ke lantai, tidak dibenarkan menggigit dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pihak lawan.

“Sekiranya berlaku dalam perlawanan, peninju akan diberi amaran sebanyak dua kali (mata akan ditolak dan dua mata percuma diberikan kepada pihak lawan).

“Manakala apabila peninju didapati melakukan kesalahan untuk kali ketiga, dia boleh disingkirkan daripada perlawanan jika tindakan tersebut disengajakan,” jelasnya.


SUKAN ini lebih membangkitkan semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan peninju dan tenaga pengajar.


Sukan yang berasal dari Thailand ini telah banyak melahirkan jaguh yang mampu memberi tentangan ketika beraksi di gelanggang.

Nama-nama seperti Chepa Somadi, Wan Jaafar Tok Raja Geting, Husin Bidah, Cikgu Harun Pohon Tanjung, Dollah Kuda Kayu dan ramai lagi, adalah antara anak muay atau peninju yang digeruni lawan terutama dari negara jiran pada tahun 1970-an.

“Setelah hampir suku abad berkubur, sukan ini kembali mendapat suntikan semangat sekitar lewat tahun 1990-an.




“Ia mula mendapat tempat di hati masyarakat, apabila gelanggang-gelanggang dan pusat latihan tomoi tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di seluruh negeri.

“Setiap minggu, perlawanan tomoi yang dianjurkan mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat, terutama di tengah-tengah kota metropolitan, Kuala Lumpur,” tambahnya.

Kunjungan Kosmo! ke salah sebuah gelanggang di ibu kota, baru-baru ini, begitu menarik perhatian memandangkan ramai dalam kalangan pemain terdiri daripada golongan remaja dan belia.

Apakah sukan tersebut signifikan terhadap jiwa dan personaliti para pemain?

“Tomoi mengutamakan ketahanan fizikal, manakala tinju lebih kepada kepantasan menumbuk. Kedua-dua elemen ini boleh digabung bersama ke arah mencapai satu matlamat, bergelar juara, demi kecemerlangan masa depan sukan tinju.

“Selain meningkatkan semangat kesukanan, sukan tomoi juga dapat mengubah sikap dan mentaliti seseorang peninju,” kata juara Malaysia dalam Contender Asia 2008, Tengku Shahrizal Tengku Abdul Rahman, 23.

Menurutnya, sebelum ini, dia seorang yang bersikap panas baran, tetapi setelah menyertai sukan tomoi sejak usia 17 tahun, dia berjaya mengurus kemarahannya dengan lebih baik.

Di samping mengenengahkan kemantapan diri dalam sukan tomoi, Tengku Shahrizal, berkata, pemain juga akan diasuh cara menghormati saudara yang lebih tua, termasuk guru, ibu bapa dan masyarakat di sekeliling.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Tomoi, Rosli Yaacob berkata: “Tidak pernah wujud elemen pergaduhan dalam sesebuah perlawanan. Sebaliknya, sukan ini lebih membangkitkan semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan peninju dan tenaga pengajar”.

“Jelas terbukti, sukan tomoi bukan sekadar aksi sukan di arena perlawanan, tetapi ia juga dianggap satu platform bagi membentuk nilai peribadi seseorang remaja,” tambahnya.




Hafiszudin Hamdan, 17, pula memberitahu, dia mula meminati sukan tomoi sewaktu menonton filem tinju, Ong Bak.

“Sejak berusia 16 tahun, saya sudah mula menggemari aksi yang ditunjukkan oleh peninju handalan, Tong Ja.

“Saya teruja melihat pergerakan kaki dan tangan serta cara menumbuk. Ini membangkitkan semangat saya untuk menyertai sukan tersebut,” katanya.

Menurutnya, pengalaman yang dilalui dalam sukan ini juga mampu mematangkan diri seseorang.

“Saya menyertai sukan ini bukan sekadar sebagai hobi masa lapang, tetapi sukan ini begitu mencabar minda.

“Menerusinya, saya berpeluang bermain dengan minda pihak lawan sekali gus mengasah dan memantapkan lagi corak pemikiran peninju,” katanya.

Badruddin Razak, 22, mengakui berjaya menghentikan tabiat merokok yang menjadi rutin hariannya setelah menyertai sukan tomoi.

“Seperti seni mempertahankan diri yang lain, tomoi mempunyai impak yang tersendiri dalam membentuk sahsiah remaja berdisiplin sekali gus menjauhi perbuatan yang tidak bermoral seperti melepak, mengambil dadah, menghisap rokok dan merewang pada waktu malam.

“Ini kerana, selepas tamat latihan, badan akan terasa letih, membuatkan seseorang itu mengantuk dan mahu berehat di rumah sahaja,” kata anak kelahiran Besut, Terengganu ini.

~Kosmo~ 26 Julai 2008

No comments: